Rabu, 29 Desember 2010

ImAn AdAlAh MuTiArA

KEIMANAN DAN KEROHANIAN ASAS PENDIDIKAN
Pendidikan keimanan bermaksud  memperkenalkan kepada anak-anak dengan unsur-unsur keimanan, membiasakan dirinya dengan rukun Islam serta mendidiknya dengan prinsip-prinsip syariat yang mulia sejak usia tamyiz (berakal) lagi.
Yang dimaksudkan dengan unsur-unsur keimanan ialah semua perkara yang berkaitan dengan hakikat keimanan serta perkara-perkara yang ghaib seperti beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab-Nya, Rasul dan dengan rukun iman yang lain.
Metod pendidikan keimanan dan kerohanian yang berasaskan al-Quran telah dijelaskan dengan panjang dan terperinci oleh Muhammad Qutb di dalam bukunya, ‘Manhaj Tarbiyah Islamiyah’. Antara perkara penting yang dikemukakan oleh Muhammmad Qutb ialah:
  • (a) meningkatkan kepekaan hati terhadap ciptaan-ciptaan Allah (alam semesta) dan membawa hati merasakan kewujudan Allah serta kekuasaan-Nya yang tidak terbatas;
  • (b) meningkatkan kepekaan hati dengan merasai Allah memerhati diri kita pada setiap masa dan di semua tempat serta setiap sesuatu berada di dalam pengetahuan Allah dan Dia akan memberi balasan bagi setiap perkara tersebut;
  • (c) meningkatkan ingatan terhadap Allah dengan perasaan taqwa dan tunduk terus menerus kepada-Nya;
  • (d) meningkatkan rasa cinta terhadap  Allah dan berusaha secara berterusan untuk memperolehi keredhaan-Nya; dan
  • (e) meningkatkan rasa damai dan tenteram bersama Allah ketika berada dalam keadaan apa sekalipun, serta menerima takdir-Nya dengan ikhlas dan senang hati.
Dalam sistem pendidikan Islam, unsur alam digunakan untuk menyedarkan hati dalam melahirkan perkara-perkara di atas. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh mengenai alam bagi membangunkan kepekaan hati manusia. Al-Quran membangunkan indera manusia untuk mengenal Tuhannya, melihat kekuasaan-Nya di dalam benda-benda yang kecil mahupun yang besar, benda yang mudah atau yang kompleks. Semuanya membuktikan kekuasaan dan keperkasaan Allah serta keagungan dan kehebatan kreativiti-Nya. Al-Quran mendidik akal dan hati sekaligus. Hanya dengan sentuhan ke atas akal dan hati, akan terbina aqidah yang mantap dan sahih.
ALAM SEBAGAI KITAB TERBUKA
Oleh demikian, sejak peringkat awal lagi pendidikan anak-anak perlu dimulakan dengan pembinaan dan pengukuhan iman. Usaha ini dapat dilakukan dengan mendekatkan anak-anak dengan alam yang terbentang luas, umpama kitab yang terbuka, untuk mem-perkenalkan anak-anak kepada penciptanya.
Pendekatan ini bukanlah pendekatan yang baru kerana sekiranya kita membuka dan mengkaji al-Quran, terutama surah-surah Makkiyah, kita akan dapati Allah SWT telah memperkenalkan diri-Nya dengan menga-  lihkan pandangan manusia daripada memandang kehidupan ini dengan akal dan hati yang kosong kepada memandang alam sekeliling dengan kekaguman sehingga membuahkan penyerahan dan pengabdian kepada Allah Rabbul ‘Alamin.
Hari ini kita bukan saja dapat mendedahkan anak-anak kepada alam persekitaran mereka, bahkan dengan bantuan alat-alat audio-visual yang canggih kita dapat mempamerkan kehebatan kuasa Allah sebagai pencipta, pentadbir dan penguasa alam ini kepada mereka.
METOD PENDIDIKAN ISLAM
Setelah kita memahami tujuan dan dasar pendidikan Islam, kita perlu memahami metod yang boleh digunakan untuk merealisasikan sistem ini. Berdasarkan tulisan Muhammad Qutb dan an-Nahlawi, metod pendidikan Islam boleh dirumuskan seperti berikut:
(a)  mendidik melalui dialog Qurani dan    Nabawi;
(b)  mendidik melalui kisah Qurani dan Nabawi;
(c)  mendidik melalui perumpamaan;
(d)  mendidik melalui teladan;
(e)  mendidik melalui amal perbuatan;
(f)   mendidik melalui ‘ibrah dan mau’izhah; dan
(g)  mendidik melalui targhib dan tarhib.
MASALAH PELAKSANAAN PENDIDIKAN JANGKA PENDEK
Permasalahan anak-anak telah memasuki satu fasa apabila ibu bapa, dalam keghairahan menyediakan anak-anak untuk memasuki alam pendidikan, telah terperangkap dalam pendekatan yang kelihatan ‘Islamik’ tetapi pada pandangan saya tidak memenuhi sepenuhnya hakikat pendidikan Islam.
Akhir-akhir ini banyak ibu bapa dan institusi pendidikan, mendidik anak-anak berasaskan pendekatan pendidikan yang diilhamkan oleh dunia Barat. Walaupun sebahagian pendekatan ini telah diubahsuai, pada dasarnya pendekatan itu tetap bukan pendidikan Islam. Sekiranya dianalisis sistem-sistem pendidikan ini, kita akan sampai kepada satu kesimpulan bahawa seluruh sistem pendidikan ini tiada kaitan dengan pendidikan berteraskan  hakikat Rabbaniyah. Sistem-sistem ini sama ada dari segi falsafah, objektif, mahupun natijah yang di-harapkan, sangat berbeza daripada hakikat pendidikan di dalam tasawwur Islam. Sistem pendidikan Barat mungkin mampu untuk menghasilkan anak-anak pintar cerdas dan merealisasikan potensi aqli dan jasmani kerana memang itu matlamat pendidikan mereka. Walaupun penekanan moral  diberi ruang dalam sistem ini, sistem moral  bukan Islam sudah pasti tidak dapat menghasilkan sistem moral Islam, sekalipun kita berusaha untuk menempelkan kekurangannya dengan menggabungkan unsur-unsur Islam ke dalamnya.
Iqbal pernah mencatatkan: “Sistem pendidikan Barat  mampu membawa anak-anak kita mengkagumi dan mempelajari kemajuan teknologi, tetapi tidak bagi mendidik mata anak-anak untuk menangisi dosa-dosanya dan mendidik hati mereka supaya takut hanya kepada Penciptanya”.
Sebenarnya terdapat perbezaan yang besar antara mengambil kaedah pengajaran dan pembelajaran berdasarkan pendekatan tokoh-tokoh Barat dengan mengambil sistem pendidikannya. Saya berpendapat meman-faatkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh sesiapa pun mengenai kaedah-kaedah pendidikan atau teknik-teknik menguasai sesuatu kemahiran yang berkesan merupakan usaha yang sangat baik. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Hikmah itu adalah barang yang tercicir. Barang siapa yang menjumpainya maka dialah yang lebih berhak memiliknya.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Cara Cepat Belajar Mengaji Al quran Untuk Pemula [Mudah dan Praktis] November 9, 2017   by  Miqdad Nashr Belajar Mengaji  – Kitab Al...