Pendahuluan.
Adalah satu hakikat yang telah kita sama sama fahami bahawa kita hidup di dalam suasana yang berlakunya pertembungan antara Islam dan jahiliyah. Pertembungan ini berlaku di setiap peringkat sama ada dari peringkat individu hinggalah keperingkat masyarakat dan negara. Setiap muslim yang merasai hakikat ini hendaklah menyedari bahawa dirinya perlu membuat persiapan yang rapi. Kegagalan di dalam pertarungan ini akan menjejaskan akhiratnya, dan juga keluarganya. Oleh yang demikian kita di tuntut untuk memahami amal Islami dan melaksanakannya dan juga menyediakan anggota anggota keluarga untuk sama sama mendukung tanggungjawab dakwah dan jihad ini.Salah satu aspek dalam persiapan jihad ini ialah menyediakan rumahtangga dakwah. Asy Syahid Imam Hassan Al Banna telah meletakkan pembentukan rumahtangga muslim sebagai fasa ke dua dalam amal Islami. Kertas kerja ini cuba membincangkan persoalan rumahtangga dawah dan kedudukannya dalam pembentukan generasi anak anak kita yang mampu mewarisi dakwah Islam.
Apa Kata Islam Mengenai Pembinaan Rumahtangga.
Sebelum kita meneruskan perbincangan mengenai tajuk ini marilah kita memahami pengertian rumahtangga atau keluarga muslim. Apa yang dimaksudkan dengan keluarga muslim adalah keluarga yang mendasarkan segala aktivitinya pada pembentukkan keluarga yang sesuai dengan syariat Islam. Berdasarkan Al quran dan as Sunnah terdapat beberapa tujuan terpenting pembentukkan rumahtangga muslim ini iaitu :
a) Mendirikan syariat Allah dalam segala permasalahan rumahtangga.
b) Mewujudkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan ruh.
Allah berfirman:
“dan di antara tanda tanda kekuasannya ialah dia menciptakan untukmu isteri isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya.dan dijadikan Nya di antaramu rasa mawaddah dan rahmah.Sesungguhnya pada yang demikian benar benar terdapat tanda tanda bagi kaum yang berfikir.“
(Surah ar-Rum :21)
Al-Qurtubi telah mencatatkan komentar ibn Abbas RA mengenai mawaddah,yang dijelaskan bererti ”cinta kasih seorang lelaki kepada isterinya” dan rahmah pula bermaksud” rahmahnya jangan sampai menderita atau mengalami kesusahan”. Dan di sini dapatlah kita simpulkan bahawa pembentukkan rumahtangga muslim itu di asakan di atas mawaddah dan Rahmah. Suasana rumahtangga yang di bina di atas dasar cinta dan kasih sayang yang suci akan mententeramkan jiwa dan ruh dalam kehidupan daie. Dalam hal ini tiada contoh yang paling tepat selain rumahtangga Rasullullah SAW yang di bina bersama sama dengan Sayidatina Khadijah RA terutama sekali pada ketika menghadai cabaran cabaran dan pengalaman pengalaman baru yang memerlukan sokongan padu serta keyakinan yang tidak ada sebarang keraguan daripada si isteri.
Anak-anak yang dibentuk di dalam suasana mawaddah dan rahmah ini akan menghasilkan peribadi yang bahagia ,yakin diri ,tenteram kasih sayang serta jauh dari kekacauan serta penyakit batin yang melemahkan peribadi.
c) Mewujudkan Sunnah Rasullullah SAW dengan melahirkan anak-anak soleh sehinggakan ummat manusia merasa bangga akan kehadiran kita.
d) Memenuhi keperluan cinta kasih anak-anak ketidak seimbangan atau ketandusan cinta kasih ini menyebabkan penyimpang akhlaq dan perilaku.
Di dalam persoalan perkahwinan dan seterusnya pembentukkan rumahtangga muslim ini Islam tidak menyempitkan perkahwinan itu hanya untk mendapatkan anak-anak yang soleh ,walaupun ini adalah satu tujuan utama, atau untuk mengekang pandangan dan menjaga kemaluan, walaupun ini juga matlamat perkahwinan dan bukan juga bertujuan untuk menyalurkan nafsu secara syarie, tetapi Islam telah menentukan matlamat yang lebih tinggi, lebih mulia dan lebih jauh jangkauannya. Ianya berkait rapat dengan matlamat kemasyarakatan ,jihad serta perlaksanaan amal Islam yang luas.
Walaupun antara matlamat terpenting dalam pembentukan rumahtangga dakwah ini adalah untuk menyediakan suasana dan persekitaran subur untuk mendidik anak- anak tetapi Islam telah menentukan bahawa perjanjian zuriat itu yang utamanya adalah bermatlamatkan dakwah dan jihad.
“Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah dari sisi Engkau seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia Ya Tuhanku, seorang yang diredhai “
( Surah Maryam : 5 – 6 )
Kedua-dua ayat di atas meraqamkan hajat dari do’a Nabi Zakaria AS yang berhajat kepada anak untuk mewarisi dan meneruskan kewajipan dakwah yang dipikulnya.
Peristiwa yang dirakamkan di dalam Al Quran ini menunjukkan bahawa seorang daie itu berhajatkan anak seperti manusia lain juga tetapi hajat ini lebih mulia kerana ia berhajat supaya anaknya mewarisi dakwah dan jihadnya. Aspek ini adalah penting kerana perjalanan dakwah dan pertarungan dengan memerlukan masa yang panjang dan dengan adanya pewaris yang akan meneruskan perjuangan dapatlah di pastikan ,Insya Allah bahawa perjuangan ini tidak akan mati di pertengahan jalan.
Tawazun Dalam Rumahtangga.
Berumahtangga juga bagi seorng daie adalah bertujuan untuk melaksanakan ubudiyah dan bukan untuk menghalangnya. Adalah disedari bahawa terdapat banyak ujian dan fitnah yang terdapat dalam rumahtanggga. Salah satu daripada ciri penting rumahtangga dakwah adalah keseimbangan atau tawazun. Keseimbangan ini adalah :
a)Di antara kecintaan kepada isteri dan anak-anak dengan kecintaan kepada Allah dakwah dan jihad.
b)Diantara kecintaan kepada keselesaan hidup bersama keluarga dengan kesungguhan berdakwah di tengah tengah masyarakatyang sangat mencabar.
c)Diantara kecenderungan untuk memberikan kesenangan hidup keluarga dengan harta benda dengan tuntutan berbelanja ke jalan Allah SWT.
Para du’at perlu melalui dengan bersungguh-sungguh untuk menatijahkan keseimbangan ini kerana ramai para duat yang gugur di perjalanan dakwah kerana kegagalan mereka melahirkan keseimbangan ini dan kegagalan mereka mendidik isteri dan anak-anak untuk menerima serta melaksanakan keseimbangan ini.
Rumahtangga dakwah adalah yang terlaksana tarbiyah kepada anggotanya.
Salah satu ciri terpenting dalam rumahtangga daie yang membezakannya terus dari yang selainnya adalah terlaksananya tarbiyah Islam yang sebenarnya di dalam rumahtangga tersebut. Adalah menjadi suatu yang dituntut agar para duat memberikan sepenuh perhatian yang serius dalan hal ini. Anggota keluarga yang tidak mendapat tarbiyah yang sebaiknya atau lebih parah lagi yang terabai terus tarbiyah mereka bukan sahaja tidak akan mempu untuk menyambung perjuangan Islam tetapi mungkin akan mencacatkan dan menjadi penghalang perjalanannya.
Pentarbiyahan anggota keluarga di mulakan dengan pentarbiyahan isteri ,yang telah terlebih dahulu di pilih di atas dasar keimanan dan keIslamannya. Pentarbiyahan isteri ini sangat penting kerana pentarbiyahan anak seterusnya akan dilaksanakan bersama dan pada dasarnya para isterilah yang akan memainkan peranan yang paling besar.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar